Sunday, 20 April 2014

Antara kemudahan yang disediakan oleh Unit Pusat Sumber SMK Sultan Ibrahim (1) kepada para pelajar dan guru ialah :
  • Buku Rujukan yang meliputi semua mata pelajaran yang dianggarkan melebihi 27 000 buah buku rujukan.
  • Buku Fiksyen dalam bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina
  • Ruang Bacaan pelajar yang boleh memuatkan seramai 60 orang pelajar dalam satu sesi.
  • Sudut Angkasawan yang menempatkan gambar dan fakta tentang angkasawan negara
  • Sudut Buku Baharu iaitu buku yang sahaja baaru diterima oleh pihak PSS dan dipamerkan di rak
  • Sudut Akhbar yang menyajikan berita terkini dalam akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan The Star
  • Sudut Reakreasi dan Pameran yang menempatkan ruangan santai untuk para pelajar membaca buku disamping melihat pameran yang di pamerkan didalam almari terutama barangan sejarah
  • Sudut Nilam yang menempatkan ruangan khas untuk membaca dan ruangan ini di dekorasikan seperti berbilik.
  • Sudut Carta Organisasi yang menempatkan Carta Organisasi induk, Pengawas PSS
  • Sudut Bacaan Guru dan pelawat iaitu satu sudut yang telah dikhaskan untuk guru dan pelawat untuk membaca
  • Sudut Majalah yang menempatkan beberapa buah majalah yang terkini kepada pelajar dan guru seperti Majalah PC, Keluarga, Solusi, Minda, 
  • Sudut Rujukan Khas iaitu Green Spot dan Red Spot yang menempatkan himpunan buku-buku terbitan khas dan ensklopedia.
  • Sudut ICT Alumni yang menempatkaan 4 buah laptop untuk kegunaan para pelajar membuat rujukan di alam maya.

PROMOSI PUSAT SUMBER TAHUN 2014

Antara promosi yang telah diadakan oleh Unit Pusat Sumber pada tahun 2014 bagi memupuk dan menarik minat para pelajar untuk mengunjungi Pusat Sumber dan amalan membaca.










Sunday, 28 April 2013

MAKLUMAN JUALAN BUKU SEMPENA MAJLIS GRADUASI DAN PESTA KOKURIKULUM 2013

Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamar malam kepada semua rakan FB PSS SMKSIS.Makluman kepada semua warga SIS, Jualan Buku akan diadakan pada 29/4/2013 dan 30/4/2013 sempena Majlis Graduasi dan Pesta Kokurikulum 2013. Jualan Buku oleh Syarikat Muda Osman(SMO) bertempat di Galeri PIBG. Semua pelajar dan guru bolehlah menggunakan kad SMO untuk mendapat potongan harga istimewa. Pelbagai bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, novel akan dijual dengan harga murah. Jom, marilah ramai-ramai ke Galeri PIBG untuk membeli buku.Membaca Jambatan Ilmu.

Friday, 15 February 2013

30 Fakta Menarik Tentang Buah- Buahan






1. Kajian tentang pertumbuhan epal dipanggil pomology

2. Orang yang ada alahan tehadap getah (latex) mungkin juga akan alah dengan buah kiwi

3. Buah lemon diberikan pada tentera British untuk mengelakkan penyakit scurvy (kekurangan 
    vitamin c)

4. Terdapat lebih 400 jenis buah kiwi di China

5. Strawberry tergolong dalam keluarga bunga ros

6. Jika anda memanaskan buah lemon sebelum memerahnya, ia akan menghasilkan lebih 
    banyak jus

7. Terdapat lebih 20 billion kelapa yang dihasilkan setiap tahun

8. 1/3 daripada buah nenas yang terdapat di dunia dihasilkan di Hawaii

9. California menghasilkan 1 billion pound strawberry setiap tahun

10. buah plum Jepun sebenarnya berasal dari negara China

11. Sebatang pokok epal mampu berbuah sehingga 100 tahun

12. Terdapat lebih 1200 jenis tembikai yang tumbuh seluruh dunia dalam 96 negara

13. Orang biasa secara puratanya makan lebih kurang 65 biji epal setahun

14. Buah pear akan menghasilkan titik hitam jika disimpan dalam persekitaran yang kurang 
      oksigen

15. Pokok lemon yang matang mampu menghasilkan diantara 1000 hingga 2000 buah 
       setahun

16. Buah plum tumbuh dalam semua benua di dunia kecuali Antartika

17. Bahagian dalam kulit pisang boleh digunakan untuk mengilatkan kasut kulit

18. Limau nipis bebas daripada kandungan lemak, lemak tepu, natrium dan kolestrol

19. Kebanyakkan vitamin C yang ada pada buah pear terdapat pada kulit buah tersebut

20. Mangga mempunyai kandungan vitamin C yang sama banyak dengan buah oren

24. Anda boleh menggosok bahagian dalam kulit pisang pada kulit untuk merawat gatal-gatal 
       akibat gigitan nyamuk

22. Lebih banyak mangga dimakan setiap hari seluruh dunia berbanding buah lain

23. Terdapat lebih kurang 10,000 jenis buah epal yang tumbuh di seluruh dunia

24. Lemon mempunyai lebih banyak kandungan gula berbanding strawberry

25. Tambahkan setengah cawan jus lemon pada cucian anda untuk mendapat cucian yang 
       lebih putih berseri

26. Pisang mempunyai kandungan vitamin B-Complex yang tinggi yang dapat membantu 
       menenangkan sistem saraf

27. Buah pear mampu kekal hidup pada suhu serendah -40 darjah celcius

28. Jika anda menanam sebiji benih buah oren, anda mungkin akan mendapat lebih daripada 
      sebatang pokok

29. Mangga tergolong dalam keluarga yang sama dengan poison ivy

30. 25% daripada kandungan buah epal adalah udara. Sebab itu ia terapung di atas 
      permukaan air

Saturday, 9 February 2013

Selamat Tahun Baru Cina 2013


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia, UNIT PSS SMKSIS ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU CINA kepada semua rakan fb PSS dan kepada warga sekolah guru dan pelajar yang berbangsa cina.

GONG XI FA CAI

Monday, 4 February 2013

Memperkemas Keperibadian Diri


Beberapa langkah perlu dilaksanakan untuk memastikan aspek keperibadian ini berada di peringkat yang cemerlang.

Kekemasan
Kekemasan ini ada kaitannya dengan kebersihan. Kekemasan bermula dengan diri  seperti pakaian, rambut, hingglah kepada peringkat  tingkah laku, budi bahasa dan kesopanan. Kekemasan ini juga diperluaskan kepada kebersihan fizikal seperti persekitaran bilik darjah, persekitaran sekolah, kantin, tandas dan sebagainya.
Jika murid dapat mengamalkan budaya yang kemas dan bersih maka ia mempunyia nilai keperibadian yang  disanjung  tinggi.  Oleh itu tindakan segera perlulah diambil untuk membuat penambahbaikan  terhadap  kelemahan yang ada pada aspek-aspek yang dinyatakan di atas.

Kepekaan
Kepekaan bermaksud kesedaran atas apa yang berlaku pada diri atau pada persekitaran. Seseorang murid haruslah peka terhadap tujuan ia datang ke sekolah.  Walaupun sekolah berfungsi sebagai  institusi pendidikan tetapi sekolah juga   berfungsi sebagai sebuah institusi sosial.
Hal ini bermakna di sekolah kita berlatih untuk hidup bersama berlandaskan satu bentuk peraturan. Setiap murid akan berinteraksi antara satu sama lain tanpa mementingkan diri sendiri. Setiap kemudahan yang ada di sekolah harus dikongsi bersama dan ia merupakan kemudahan awam yang harus dihargai bersama.  Kepekaan ini akan menghalang kita daripada bertindak mengikut hawa nafsu,  merosak harta benda sekolah dan melanggar peraturan sekolah.

Kematangan
Kematangan seseorang murid bukan hanya bergantung pada umur atau tahap persekolahannya sahaja. Ada murid tingkaan lima tetapi kematangannya berada di tahap tingkatan satu tetapi ada juga murid tahun lima yang kematangnnya berada di tahap tingkatan tiga.
Berlari ketika makan, mengganggu rakan ketika guru mengajar atau bercakap perkara yang tidak berfaedah adalah sebahgian daripada ciri-ciri murid yang tidak matang. Kematangan merangkumi aspek pertuturan, pemikiran dan tindakan.
Kematangan ini menjadi kayu pengukur keperibadian seseorang itu. Bertutur secara sopan, berfikir untuk mengeluarkan idea yang bernas dan bertindak berlunaskan ketatasusilaan, mencerminkan kematangan seseorang murid.

Justeru, setiap murid perlu mengorak langkah memperkemas diri agar melalui keperibadian yang tinggi ini dapat mencerminkan kemuliaan etika dan kerohanian kita supaya kita dihormati dan disegani hinggalah ke peringkat dunia.

7 Faktor Masa Terbuang


1. Kumpulan belajar tidak diurus secara betul
- Perbincangan dan belajar secara berkumpulan yang tidak diurus dengan sitematik akan membazirkan masa serta tidak dapat mencapai objektif yang ditetapkan.

2. Komunikasi tidak berkesan
-  Tiada atau kurangnya komunikasi yang jelas antara calon dan rakan-rakan atau guru-guru berhubung sesuatu topik akan menyebabkan banyak masa diambil untuk menjelaskan segala kekeliruan. Malah, maklumat yang betul perlu disalurkan semula dan ini pasti memakan masa.

3. Kurang kemahiran mendengar
- Akibat kemahiran mendengar yang tidak efektif akan menyebabkan anda tertinggal maklumat penting dan terpaksa mencari semula maklumat yang sepatutnya didengar terlebih dahulu.

4. Menyibuk terhadap urusan orang lain
- Sikap menyibuk terhadap kerja orang lain yang tidak berkaitan dengan urusan diri sendiri bukan sahaja menyakitkan hati orang lain malah turut mengganggu kerja serta membuang masa semua pihak.
- Selain itu, masa juga terbuang bila kita melakukan aktiviti yang tiada kaitan dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan akademik seperti berbual kosong, melepak dan bermain komputer.

5. Gangguan luar ketika mengulang kaji
- Ajakan kawan untuk bermain, rancangan menarik di televisyen dan kerenah adik-beradik boleh menjejaskan tumpuan serta menyebabkan ulang kaji terpaksa diulang semula.

6. Tidak cekap mengendalikan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
- Tiada pengetahuan dan Kurang cekap mengendalikan peralatan ICT ketika mengakses bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga menjadi faktor banyak masa terbuang untuk mempelajarinya.

7. Membuat tugasan tanpa keutamaan
- Gagal memberi keutamaan kepada tugas-tugas tertentu juga menyebabkan banyak tugas dilakukan pada masa yang sama tetap satu pun tidak boleh diselesaikan.

Wednesday, 23 January 2013

Salam Maulidur Rasul 1434H

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia, UNIT PSS SMK SULTAN IBRAHIM (1), ingin mengucapkan salam Maulidur Rasul 1434H.
HIDUPKAN SUNNAH RASULLULAH...

Monday, 24 December 2012

10 Perkara Yang Tidak Boleh Dibeli Dengan Duit




Percayakah anda di zaman materialistik sekarang ini, semua orang mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama “duit”. Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Duit membuatkan manusia melakukan perkara yang diharamkan, manusia menjadi rakus kerana duit, manusia pecah amanah, rasuah, merompak, melacur malah membunuh manusia lain kerana duit. Kejayaan orang di zaman kini juga diukur dengan banyaknya duitnya.

Tetapi walau bagaimana pentingnya duit, masih ada benda yang tidak boleh dibeli dengan duit

1. Masa
Duit tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah berlalu. Setelah hari berganti, maka masa 24jam tersebut akan hilang dan tidak akan mungkin akan kembali lagi. Oleh itu gunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyatakan perhatian dan kasih sayang anda kepada orang yang sangat anda sayang dan anda cintai, sebelum waktu itu berlalu dan anda menyesalinya.Begitu juga dengan tanggungjawab dengan Allah, jika kita terlepas waktu Subuh pagi tadi, ia tidak dapat ditukar dengan berapa juta pun wang untuk kembali ke waktu Subuh tadi.

2. Kebahagiaan
Memang kedengaran pelik, tapi inilah kenyataannya. Duit memang boleh membuat anda merasa senang kerana anda boleh bercuti mewah, memberi laptop dengan kemudahan yang sangat canggih, atau membeli kereta dan rumah mewah 8 tingkat sekalipun. Tetapi duit tidak boleh menghadirkan sececah kebahagiaan dari dalam lubuk hati kita. Berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur walaupun dalam aircond yang sejuk dan dalam bilik yang super mewah yang katilnya berharga berpuluh ribu ringgit.

3. Kebahagiaan Anak
Untuk membeli makanana dan pakaian yang bagus-bagus untuk anak tercinta memang memerlukan duit. Tetapi anda tidak boleh menggunakan wang untuk memberikan rasa aman, tanggungjawab, sikap yang baik serta kepandaian pada anak anda. Hal ini memerlukan waktu dan perhatian yang anda curahkan untuk mereka dan amalan baik yang anda ajarkan. Duit memang membantu kita memenuhi aspek penjagaan, tapi waktu telah membuktikan bahawa keperluan asas tiap anak adalah berapa banyak masa yang diberikan orangtuanya, bukan “duitnya”.

4. Cinta
Cinta tidak boleh dibeli dengan wang, akuilah hal ini benar. Memang dengan duit kita boleh membuat orang tertarik, tapi cinta berasal dari rasa saling menghargai, perhatian, berbagi pengalaman dan kesempatan untuk berkembang bersama. Itu sebabnya banyak pasangan yang berkahwin kerana duit, tidak bertahan lama atau pun tidak merasa bahagia.

5. Persahabatan
Untuk diterima oleh lingkungan pergaulan dengan sahabat, anda tak perlu duit. Apabila anda ingin diterima, fokuskan tenaga anda untuk membuat diri anda berharga bagi lingkungan sekitar dengan menjadi teman dalam suka dan duka.

6. Kesihatan
Kita memerlukan duit untuk membiayai rawatan dan membeli ubat, tapi duit tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Itu sebabnya pepatah lebih baik mencegah daripada mengubati .

7. Kejayaan
Beberapa orang memang ada yang mencapai kejayaan dengan menyogok, tapi ini adalah pengecualian. Kejayaan hanya berasal dari kerja keras, kemahuan, dan rezeki yang tertulis. Ada aspek kecil dari usaha menuju sukses yang boleh didapatkan dengan duit, misalnya mengikuti kursus atau membeli peralatan, tapi kejayaan lebih banyak berasal dari usaha yang anda lakukan sendiri.

8. Bakat
Kita dilahirkan dengan bakat tertentu. Dengan duit, yang boleh kita lakukan adalah mengasah bakat tersebut, misalnya belajar muzik. Namun para pakar mengatakan, untuk menjadi pakar di bidangnya, kita memerlukan bakat semulajadi.

9. Sikap yang baik
Banyak orang yang kaya raya tapi sikapnya kasar,sombong dan cakap besar. Tak sedikit juga orang yang sederhana yang tutur katanya sopan dan menunjukkan rasa hormat pada orang lain. Jadi, jumlah duit yang dimiliki bukan penentu sikap seseorang.

10. Kedamaian
Bila wang boleh membeli kedamaian, barangkali kita tak lagi mendengar tentang perang. Tetapi yang sering terjadi sebaliknya, duitlah yang menjadi sumber pertikaian dan permusuhan.

Monday, 15 October 2012

Program Minda Bestari


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia, UNIT PSS SMKSIS akan menganjurkan Program Minda Bestari bertempat di SMK SULTAN IBRAHIM (1)  pada hari Rabu 
(17/10/2012). Antara program yang disajikan pada hari tersebut pameran AADK di Galeri PIBG dan Ceramah Kerjaya Serta Bengkel Kerjaya Anjuran Jabatan Tenaga Kerja Kelantan (JTK). Pada hari tersebut akan diadakan beberapa pertandingan antaranya kuiz minda, teka berat / bilangan muka surat buku dan teka silang kata. Hadiah disediakan kepada para pemenang......

JOM SERTAI KAMI...... UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KUNJUNGI PSS SMKSIS.

Friday, 5 October 2012

Tips Menghadapi Hari Peperiksaan


1. SEMAK JADUAL
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan. Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. KUNCI PEPERIKSAAN
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. TENTUKAN KEUTAMAAN
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua. Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. BANYAK MENGINGAT DAN MEMBUAT KAITAN
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. MERANCANG PERSIAPAN PEPERIKSAAN
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

A.Pertama, 
Sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

B.Kedua, 
Pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah. Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya. Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa.

Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir. Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

C.Ketiga, 
Selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. ELAKKAN TERBABIT DENGAN SITUASI YANG BOLEH MENGGANGGU 
    PERASAAN
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. BERDOA DAN BERTAKAWAL
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.



Monday, 10 September 2012

Tahukah Anda Tentang Pusat Sumber Sekolah???


Definisi Pusat Sumber Sekolah (PSS)
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan pusat perkhidmatan akses maklumat bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan dalam bentuk bahan cetak, bukan cetak dan digital. PSS perlu diurus secara sistematik dan efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dasar Pusat Sumber Sekolah
Dasar Pengurusan Pusat Sumber Sekolah diwujudkan untuk memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi yang menepati piawaian dan terkini, diurus dengan cekap dan berkesan, dan digunakan secara optimum bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.

Strategi Pelaksanaan Dasar PSS adalah seperti berikut:
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai kemudahan fizikal dan infrastruktur yang  
    sesuai dan memenuhi fungsi dan peranannya.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan yang menepati piawai dan    
    terkini.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan dengan cekap dan berkesan sesuai dengan 
    kemajuan teknologi maklumat masa kini.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan oleh Guru Perpustakaan dan Media yang 
    menepati syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan dalam pekeliling semasa.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah sentiasa meningkatkan usaha untuk melaksanakan 
   aktiviti penggalakan membaca dan literasi maklumat dalam meningkatkan kualiti proses 
    pengajaran dan pembelajaran.

Objektif Pusat Sumber Sekolah
•    Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai format bagi 
      membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat yang efektif dan pemikir 
      yang kritis
•    Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama kepada semua 
      warga sekolah
•    Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi maklumat, pembelajaran, 
      penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
•     Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat

Peranan Pusat Sumber Sekolah
            Pusat Ilmu
•          Pusat Penemuan
•          Pusat Pengajaran dan Pembelajaran
•          Pusat Pengajaran
•          Pusat Profesional
•          Pusat Hubungan Masyarakat

Fungsi Pusat Sumber Sekolah
•   Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang komprehensif, seimbang 
    dan kemas kini yang selaras dengan keperluan kurikulum dan memenuhi keperluan warga 
    sekolah.
•  Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau  
    kumpulan.
•   Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, 
    penghasilan dan penggunaan maklumat.
•   Menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan 
    berfungsi.
•   Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk 
     meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Halatuju Pusat Sumber Sekolah
Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan cetak semata-mata (buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi bahan berbentuk elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV, e-book, audio book, e-jurnal, newspaper online).
Program dan halatuju PSS tidak boleh lari daripada dua dokumen berikut:
•   The School Library Manifesto: The school library in teaching and learning for all 
     (IFLA/UNESCO 2000)
•    The IFLA/UNESCO School Library Guidelines (2002)

Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan PSS di Malaysia.

Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pusat Sumber Sekolah

•    Perkhidmatan Sirkulasi Bahan
      Sirkulasi bahan di sesebuah PSS perlu mengambil kira saiz koleksi, jumlah pengguna dan   
      keperluan pengguna.

Sirkulasi bahan terdiri daripada:
a.         Pinjaman biasa
b.         Pinjaman khas
c.         Pinjaman berkelompok

Sirkulasi bahan juga boleh dibuat antara PSS / perpustakaan awam melalui pinjaman antara perpustakaan (inter-library loan) bagi memenuhi keperluan maklumat pengguna.

•          Perkhidmatan Khidmat Nasihat / Rujukan

Khidmat nasihat / rujukan perlu diberi kepada warga sekolah berkaitan perkara berikut :
•          Pemilihan bahan
•          Pencarian maklumat
•          Rekabentuk, pembinaan dan penggunaan bahan P&P
•          Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi

•          Perkhidmatan Kesedaran Semasa

PSS perlu menyediakan perkhidmatan kesedaran semasa untuk memaklumkan kepada warga sekolah berkaitan maklumat atau judul terkini yang terdapat di PSS.

Perkhidmatan ini boleh disediakan melalui sumber berikut :
a. laman web sekolah / PSS
b.  keratan akhbar
c. muka surat kandungan majalah
d. bibliografi beranotasi
e. senarai bahan terkini
f. abstrak dan indeks bahan terpilih
g. pangkalan data bibliografi sumber PSS
h. pameran buku baru

•          Perkhidmatan Pendidikan Pengguna
Program pendidikan pengguna perlu disediakan secara terancang dan berterusan untuk memaklumkan warga sekolah berkaitan program, aktiviti dan perkhidmatan PSS di samping memberi kemahiran kepada mereka berkaitan penggunaan kemudahan PSS dan pencarian maklumat.

• Perkhidmatan Papan / Sudut Maklumat
Akses kepada maklumat sekolah / PSS perlu disediakan melalui papan / sudut maklumat yang ditempatkan di lokasi yang strategik.

•          Perkhidmatan Pengurusan Sumber Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan mengikut keperluan dan kemampuan sekolah. Akses kepada pangkalan data sumber maklumat pelbagai bidang ilmu sama ada dalam atau luar negara perlu disediakan melalui laman web sekolah atau PSS.

•          Perkhidmatan kemudahan bilik / ruang
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Perkhidmatan yang boleh disediakan oleh PSS adalah seperti berikut :
•          Bilik Tayangan / Audio Visual / Multimedia
•          Pusat Akses Kendiri
•          Sudut Bercerita / Aktiviti
•          Sudut / Bilik Perbincangan
•          Bilik Rakaman

•          Perkhidmatan Reprografi
Perkhidmatan ini disediakan untuk percetakan, memuat turun maklumat digital dan membuat salinan bahan.

•          Perkhidmatan Akses Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk mengakses maklumat menggunakan kemudahan Internet atau Intranet.


Thursday, 30 August 2012

Cara Mengosongkan Fikiran Yang Berserabut


Kehidupan seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama yang perlu diselesaikan. Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin berserabut.

Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan yang jelas dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang kurang penting. Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran anda.


Tarik Nafas
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan fikiran anda.

Ambil Wudhuk
Jika anda seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.

Tulis
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran anda. Anda perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis satu-persatu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis.

Kenalpasti Yang Utama
Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini perlu kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini. Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya? cinta?

Buang Yang Tidak Penting
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”. Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain di fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak.

Cukup Rehat & Tidur
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam akan dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.

Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini di waktu anda bersarapan, anda akan bermula hari anda dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran anda menerawang jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan yang anda tonton. Fokus anda kepada perkara yang lebih penting akan terjejas kerana anda mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda anda. Kurangkan menonton TV.

Kembali Kepada Alam
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin laju. Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu dan membolehkan anda hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu atau waktu hadapan, di mana anda terkejar-kejar dengan impian demi impian dan dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa yang sudah pun berlaku. Bawa keluarga anda mandi air terjun atau pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi anda. Bila waktu bergerak perlahan, anda akan dapat memberi fokus.

Lepaskan
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa tidak puas tentang apa yang telah anda lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling mudah untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak menguntungkan. Fikirkanlah.

Kemas Ruang Anda
Tempat kerja atau kediaman anda perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda anda. Kita cuma tidak sedar akan hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan anda pasti akan mendapat tenaga yang baru.

Berkongsi Masalah
Jangan simpan permasalahan anda. Jika anda mempunyai kekasih atau seseorang yang penting dalam hidup anda, berkongsilah masalah anda dengan mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah dengan hati dan minda yang terbuka.

Sedikit Lagi
Ingat lagi perkara-perkara yang anda tuliskan dalam langkah ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.

Buat
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu. Jangan bertangguh!


Tuesday, 28 August 2012

33 Ciri-ciri seorang Pelajar Bestari


1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam  
    pendidikan.

2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,   
    bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.


3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian 
    bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. 

5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang 
    bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak 
    kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).

6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku 
    latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.

7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah 
    dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar   
    menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, 
    maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti 
    kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke 
    kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota 
    pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau \   
    sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati 
    guru yang memberikan kita ilmu.

10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah 
     Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan 
     cara bersoal-jawab’.

11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan 
      cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin 
      memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya 
      ketajaman pemikiran pelajar.

12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya         
      dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. 
      Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja 
       rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah 
      pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai 
      visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu 
      pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan 
      tambahan.


17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti 
      Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan 
       sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu 
       menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang 
       sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.

19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta 
      nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang 
      sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan 
      keyakinan diri.

21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik 
       menjawab soalan peperiksaan.

22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta 
       bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek 
       tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan 
       cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu 
       buku rujukan.

23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar 
      dalam pelajaran.

24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas 
      akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang 
      lancar.

26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba 
       mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar 
       untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan 
       yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan 
       yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat 
      mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau 
      mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga 
      keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-
      gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga \   
      sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan 
      menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih 
      jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya       
      dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai 
       model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam  
       menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga 
       untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan    
      oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-
      masing.


32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini 
       juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi 
      kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan 
      panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk 
      mencari kejayaan yang lebih cemerlang.