Thursday 30 August 2012

Cara Mengosongkan Fikiran Yang Berserabut


Kehidupan seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama yang perlu diselesaikan. Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin berserabut.

Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan yang jelas dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang kurang penting. Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran anda.


Tarik Nafas
Ingat lagi bagaimana anda bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan fikiran anda.

Ambil Wudhuk
Jika anda seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.

Tulis
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran anda. Anda perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang anda fikirkan untuk membolehkan minda mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis satu-persatu apa yang anda sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis.

Kenalpasti Yang Utama
Setelah anda rasa puas dengan apa yang anda tulis, anda kini perlu kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk membantu anda dalam proses ini. Lebih baik lagi jika anda klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup anda dan apa yang paling penting dalam hidup anda; keluarga? kerjaya? cinta?

Buang Yang Tidak Penting
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang anda fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”. Anda akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain di fikiran anda sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya membuatkan anda kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang anda untuk berfikir secara bijak.

Cukup Rehat & Tidur
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam akan dapat memberi anda perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda anda tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda anda liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat anda, atau keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.

Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyanyat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi tenaga yang negatif kepada kita. Jika anda mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini di waktu anda bersarapan, anda akan bermula hari anda dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran anda sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa anda untuk membaca akhbar.
Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran anda menerawang jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan yang anda tonton. Fokus anda kepada perkara yang lebih penting akan terjejas kerana anda mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda anda. Kurangkan menonton TV.

Kembali Kepada Alam
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin laju. Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu dan membolehkan anda hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu atau waktu hadapan, di mana anda terkejar-kejar dengan impian demi impian dan dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa yang sudah pun berlaku. Bawa keluarga anda mandi air terjun atau pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi anda. Bila waktu bergerak perlahan, anda akan dapat memberi fokus.

Lepaskan
Anda risau tentang sesuatu? Anda rasa tidak puas tentang apa yang telah anda lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling mudah untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak menguntungkan. Fikirkanlah.

Kemas Ruang Anda
Tempat kerja atau kediaman anda perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda anda. Kita cuma tidak sedar akan hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan anda pasti akan mendapat tenaga yang baru.

Berkongsi Masalah
Jangan simpan permasalahan anda. Jika anda mempunyai kekasih atau seseorang yang penting dalam hidup anda, berkongsilah masalah anda dengan mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah dengan hati dan minda yang terbuka.

Sedikit Lagi
Ingat lagi perkara-perkara yang anda tuliskan dalam langkah ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.

Buat
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu. Jangan bertangguh!


Tuesday 28 August 2012

33 Ciri-ciri seorang Pelajar Bestari


1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam  
    pendidikan.

2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,   
    bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.


3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian 
    bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. 

5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang 
    bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak 
    kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).

6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku 
    latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.

7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah 
    dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar   
    menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, 
    maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti 
    kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke 
    kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota 
    pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau \   
    sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati 
    guru yang memberikan kita ilmu.

10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah 
     Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan 
     cara bersoal-jawab’.

11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan 
      cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin 
      memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya 
      ketajaman pemikiran pelajar.

12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya         
      dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. 
      Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja 
       rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah 
      pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai 
      visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu 
      pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan 
      tambahan.


17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti 
      Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan 
       sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu 
       menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang 
       sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.

19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta 
      nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang 
      sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan 
      keyakinan diri.

21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik 
       menjawab soalan peperiksaan.

22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta 
       bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek 
       tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan 
       cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu 
       buku rujukan.

23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar 
      dalam pelajaran.

24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas 
      akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang 
      lancar.

26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba 
       mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar 
       untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan 
       yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan 
       yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat 
      mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau 
      mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga 
      keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-
      gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga \   
      sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan 
      menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih 
      jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya       
      dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai 
       model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam  
       menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga 
       untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan    
      oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-
      masing.


32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini 
       juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi 
      kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan 
      panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk 
      mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Tips Merancang Program Ulangkaji


  • Buat jadual ulangkaji yang sistematik bagi setiap mata pelajaran yang kita ambil.
  • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun lepas berserta skema jawapan kerana ia dapat membantu kita memahami kehendak soalan.
  • Jangan lupa untuk menyediakan nota-nota ringkas. Ini dapat membantu kita sebelum memasuki dewan peperiksaan dengan melihat beberapa fakta-fakta yang ringkas dan padat.
  • Sentiasa melatih diri kita untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan tahun lepas kerana kebanyak soalan-soalan peperiksaan diolah dan digubal melalui soalan-soalan tahun lepas
  • Jadikan guru sebagai rujukan utama kita di sekolah apabila menghadapi sebarang masalah mahupun untuk mendapat pendapat dan nasihat daripada nya
  • Jangan sesekali kita ponteng kelas, mahunpun tidak hadir kesekolah kecuali diatas sebab sakit kerana kita akan ketinggalan dalam pelajaran.
  • kerap mengunjungi Pusat Sumber Sekolah kerana pelbagai bahan rujukan disediakan disana malah suasana belajar di Pusat Sumber lebih tenang.

Ciri-Ciri Seorang Pelajar Cemerlang

  • Niat yang betul iaitu belajar kerana Allah kerana ingin mencari keredhaaNya.

  • Memiliki jadual waktu dalam hidup iaitu dari awal pagi hingga tidur pada waktu malam.

  • Jangan mengsia-siakan masa yang lapang dengan melakukan kerja yang tidak berfaedah sebaiknya masa tersebut perlu dihargai dan diisikan dengan membuat latihan, membaca atau sebaginya.

  • Jauhi perkara-perkara  yang mudah melalaikan kita seperti menonton TV, berbual kosong, bermain video game dan sebaginya.

  • Setiap melakukan kerja  hendaklah di lakukan dengan bersunguh-sungguh kerana kita yang akan menentukan masa hadapan kita.

  • Sentiasa menjaga permakanan. Banyakkan makan kismis, kurma, susu dan madu untuk menguatkan ingatan.

  • Sentiasa mendekatkan diri degan Allah serta sentiasa berdoa dan bertawakal kepadaNya.