Tuesday 28 August 2012

33 Ciri-ciri seorang Pelajar Bestari


1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam  
    pendidikan.

2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,   
    bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.


3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian 
    bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. 

5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang 
    bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak 
    kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).

6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku 
    latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.

7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah 
    dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar   
    menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, 
    maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti 
    kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke 
    kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota 
    pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau \   
    sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati 
    guru yang memberikan kita ilmu.

10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah 
     Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata ‘carilah ilmu pengetahuan dengan 
     cara bersoal-jawab’.

11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan 
      cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin 
      memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya 
      ketajaman pemikiran pelajar.

12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya         
      dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. 
      Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja 
       rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah 
      pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai 
      visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu 
      pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan 
      tambahan.


17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti 
      Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan 
       sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu 
       menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang 
       sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.

19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta 
      nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang 
      sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan 
      keyakinan diri.

21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik 
       menjawab soalan peperiksaan.

22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta 
       bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek 
       tertentu. Ingat pepatah Inggeris, “Don’t judge the book by its cover.” Buku yang kelihatan 
       cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu 
       buku rujukan.

23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar 
      dalam pelajaran.

24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas 
      akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang 
      lancar.

26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba 
       mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar 
       untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan 
       yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan 
       yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat 
      mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau 
      mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga 
      keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Hindari makan di gerai-
      gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga \   
      sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan 
      menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih 
      jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya       
      dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai 
       model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam  
       menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga 
       untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan    
      oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-
      masing.


32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini 
       juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi 
      kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan 
      panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk 
      mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

No comments:

Post a Comment