Monday 10 September 2012

Tahukah Anda Tentang Pusat Sumber Sekolah???


Definisi Pusat Sumber Sekolah (PSS)
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan pusat perkhidmatan akses maklumat bersepadu yang mengandungi pelbagai sumber pendidikan dalam bentuk bahan cetak, bukan cetak dan digital. PSS perlu diurus secara sistematik dan efisyen bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dasar Pusat Sumber Sekolah
Dasar Pengurusan Pusat Sumber Sekolah diwujudkan untuk memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi yang menepati piawaian dan terkini, diurus dengan cekap dan berkesan, dan digunakan secara optimum bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.

Strategi Pelaksanaan Dasar PSS adalah seperti berikut:
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai kemudahan fizikal dan infrastruktur yang  
    sesuai dan memenuhi fungsi dan peranannya.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah mempunyai koleksi bahan yang menepati piawai dan    
    terkini.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan dengan cekap dan berkesan sesuai dengan 
    kemajuan teknologi maklumat masa kini.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah diuruskan oleh Guru Perpustakaan dan Media yang 
    menepati syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan dalam pekeliling semasa.
•  Memastikan Pusat Sumber Sekolah sentiasa meningkatkan usaha untuk melaksanakan 
   aktiviti penggalakan membaca dan literasi maklumat dalam meningkatkan kualiti proses 
    pengajaran dan pembelajaran.

Objektif Pusat Sumber Sekolah
•    Menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai format bagi 
      membolehkan semua warga sekolah menjadi pengguna maklumat yang efektif dan pemikir 
      yang kritis
•    Menyediakan perkhidmatan secara bertanggungjawab, adil dan saksama kepada semua 
      warga sekolah
•    Meningkatkan tahap pencapaian murid dalam pembacaan, literasi maklumat, pembelajaran, 
      penyelesaian masalah dan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
•     Melahirkan individu bestari yang mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat

Peranan Pusat Sumber Sekolah
            Pusat Ilmu
•          Pusat Penemuan
•          Pusat Pengajaran dan Pembelajaran
•          Pusat Pengajaran
•          Pusat Profesional
•          Pusat Hubungan Masyarakat

Fungsi Pusat Sumber Sekolah
•   Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang komprehensif, seimbang 
    dan kemas kini yang selaras dengan keperluan kurikulum dan memenuhi keperluan warga 
    sekolah.
•  Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau  
    kumpulan.
•   Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, 
    penghasilan dan penggunaan maklumat.
•   Menyediakan kemudahan, peralatan dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan 
    berfungsi.
•   Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk 
     meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Halatuju Pusat Sumber Sekolah
Program dan halatuju PSS di Malaysia adalah sejajar dengan perkembangan ICT masa kini. PSS kini bukan hanya terdiri daripada bahan cetak semata-mata (buku, surat khabar, jurnal, majalah) malah merangkumi bahan berbentuk elektonik dan digital (courseware, e-bahan, eduweb TV, e-book, audio book, e-jurnal, newspaper online).
Program dan halatuju PSS tidak boleh lari daripada dua dokumen berikut:
•   The School Library Manifesto: The school library in teaching and learning for all 
     (IFLA/UNESCO 2000)
•    The IFLA/UNESCO School Library Guidelines (2002)

Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada perancangan dan pembangunan PSS di Malaysia.

Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pusat Sumber Sekolah

•    Perkhidmatan Sirkulasi Bahan
      Sirkulasi bahan di sesebuah PSS perlu mengambil kira saiz koleksi, jumlah pengguna dan   
      keperluan pengguna.

Sirkulasi bahan terdiri daripada:
a.         Pinjaman biasa
b.         Pinjaman khas
c.         Pinjaman berkelompok

Sirkulasi bahan juga boleh dibuat antara PSS / perpustakaan awam melalui pinjaman antara perpustakaan (inter-library loan) bagi memenuhi keperluan maklumat pengguna.

•          Perkhidmatan Khidmat Nasihat / Rujukan

Khidmat nasihat / rujukan perlu diberi kepada warga sekolah berkaitan perkara berikut :
•          Pemilihan bahan
•          Pencarian maklumat
•          Rekabentuk, pembinaan dan penggunaan bahan P&P
•          Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi

•          Perkhidmatan Kesedaran Semasa

PSS perlu menyediakan perkhidmatan kesedaran semasa untuk memaklumkan kepada warga sekolah berkaitan maklumat atau judul terkini yang terdapat di PSS.

Perkhidmatan ini boleh disediakan melalui sumber berikut :
a. laman web sekolah / PSS
b.  keratan akhbar
c. muka surat kandungan majalah
d. bibliografi beranotasi
e. senarai bahan terkini
f. abstrak dan indeks bahan terpilih
g. pangkalan data bibliografi sumber PSS
h. pameran buku baru

•          Perkhidmatan Pendidikan Pengguna
Program pendidikan pengguna perlu disediakan secara terancang dan berterusan untuk memaklumkan warga sekolah berkaitan program, aktiviti dan perkhidmatan PSS di samping memberi kemahiran kepada mereka berkaitan penggunaan kemudahan PSS dan pencarian maklumat.

• Perkhidmatan Papan / Sudut Maklumat
Akses kepada maklumat sekolah / PSS perlu disediakan melalui papan / sudut maklumat yang ditempatkan di lokasi yang strategik.

•          Perkhidmatan Pengurusan Sumber Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan mengikut keperluan dan kemampuan sekolah. Akses kepada pangkalan data sumber maklumat pelbagai bidang ilmu sama ada dalam atau luar negara perlu disediakan melalui laman web sekolah atau PSS.

•          Perkhidmatan kemudahan bilik / ruang
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Perkhidmatan yang boleh disediakan oleh PSS adalah seperti berikut :
•          Bilik Tayangan / Audio Visual / Multimedia
•          Pusat Akses Kendiri
•          Sudut Bercerita / Aktiviti
•          Sudut / Bilik Perbincangan
•          Bilik Rakaman

•          Perkhidmatan Reprografi
Perkhidmatan ini disediakan untuk percetakan, memuat turun maklumat digital dan membuat salinan bahan.

•          Perkhidmatan Akses Maklumat
Perkhidmatan ini perlu disediakan untuk mengakses maklumat menggunakan kemudahan Internet atau Intranet.